Kisah Pemuda Yang Bernama Uzair
(Tertidur 100
Tahun)
Pada suatu hari ketika ‘Uzair memasuki
kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah
terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam
ini. Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati
keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keledai yang ditungganginya
tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada
di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya
sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu
dilihatnya kampung itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi
rosak-binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat
manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan
pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa
dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian
dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi
melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia
yang sudah busuk itu.
“Bagaimana orang-orang yang sudah mati
dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?” begitulah
pertanyaan yang datang bertalu-talu dan tidak terjawab olehnya sehingga dia
menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia
seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah
meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam,
tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun
lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di
sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang
telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah,
manakal ‘Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad
(tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya
sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad ‘Uzair yang telah mati, daging dan
tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah s.w.t. pada
bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga ‘Uzair
hidup kembali seperti dahulu. ‘Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun
dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang
dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah
beberapa malaikat seraya bertanya, “Tahukah engkau ya ‘Uzair berapa lama engkau
tidur?” Tanpa berfikir panjang ‘Uzair menjawab, “Saya tertidur sehari dua
ataupun setengah hari.” Lalu malaikat pun berkata kepadanya, “Bahawa engkau
terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring,
berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk
dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik
keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur
dan dagingnya sudah busuk.”
Berkata malaikat lagi, “Lihatlah dan
perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah s.w.t. Allah s.w.t.
dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad
yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan
semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili
segala perbuatannya. Hal
ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau
sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan
manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan
Tuhan tentang akhirat itu.”
Setelah
‘Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka ‘Uzair pun
berkata, “Sekarang tahulah saya bahawa Allah s.w.t. itu adalah berkuasa ke atas
tiap-tiap sesuatu.” Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya
mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala
iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka
‘Uzair pun berkata, “Sekarang tahulah saya bahawa Allah s.w.t. berkuasa di atas
segala-galanya.” Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus
menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar
untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa
yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran,
akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di situ, dia
mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis
runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang
perempuan tua, lantas dia pun bertanya, “Inikah rumah tuan ‘Uzair?”
“Ya,”
jawab perempuan itu. “Inilah rumah ‘Uzair dahulu, tetapi ‘Uzair telah lama
pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa
padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja.”
Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata. ‘Sayalah ‘Uzair,” jawab ‘Uzair
dengan pantas. “Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan
sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah s.w.t. kembali.” Perempuan tua itu
terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, “‘Uzair itu adalah
seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah
banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat.” Sambunya lagi,
“Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya
telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan ‘Uzair. Kalaulah tuan ini
‘Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan supaya mata saya terang kembali
dan dapat melihat tuan.”
“Uzair
pun menadah kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan.
Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang
lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah
merenung wajah ‘Uzair dia pun berkata, “Benar, tuanlah ‘Uzair. Saya masih
ingat.” Hambanya itu terus mencium tangan ‘Uzair lalu keduanya pergi
mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. ‘Uzair memperkenalkan dirinya bahawa
dialah ‘Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan
bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya.
Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika
itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran ‘Uzair. Kemudian datanglah anak
kandungnya sendiri seraya bertanya, “Saya masih ingat bahawa bapa saya
mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah
dia ‘Uzair.”Tanda itu memang ada pada ‘Uzair, lalu percayalah sebahagian
daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata,
maka mereka berkata kepada ‘Uzair, “Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke
atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci
Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali
‘Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang
betul.”
‘Uzair pun membaca isi Taurat itu
satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit.
Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah ‘Uzair.
Ketika itu, semua bangsa Israil punpercaya bahawa dialah ‘Uzair yang telah mati
dan dihidupkan semual oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan
mencium tangan ‘Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi
sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap ‘Uzair sebagai anak Tuhan
pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada ‘Uzair mahupun Isa kerana
semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang
kekuasaan Allah s.w.t., maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan
dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa
ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan
Allah s.w.t., ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah dia membaca dan memahami
al-Quran, was-was terhadap kekuasaan Allah s.w.t. itu hanya datangnya dari
syaitan.
Allah s.w.t. telah meletakkan akal
dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar